Langkau ke kandungan utama

PERANAN DAN TAHAP KESEDARAN GURU

KANDUNGAN


1.0 PENGENALAN

Berdasarkan intipati puisi melankolik seorang pendidik Allahyarham Datuk Usman Awang dalam sajak “Guru O Guru” ada menggambarkan peranan guru pada setiap patah perkataan puitis beliau bahawa guru  mampu mengubah seorang manusia yang menguasai pelbagai bidang sehingga hari ini setelah 59 tahun Malaysia merdeka. Peranan guru amat mangli dan sinonim dalam pendidikan. Guru merupakan kerjaya yang amat disanjung dalam masyarakat segenap dimensi. Kendatipun demikian, masyarakat menganggap kerjaya guru mudah memperoleh pendapatan tinggi dan peluang cuti. Pelbagai tanggapan yang boleh dirumuskan kerjaya guru. Namun tanpa disedari, perkhidmatan guru memerlukan personaliti kebertanggungjawaban yang tinggi untuk menempuh cabaran mendidik, membimbing dan menunjuk ajar demi proses membentuk insaniah berguna.
            Proses pembentukan tersebut memerlukan profesionalisme keguruan agar usaha merealisasikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia tercapai yang menggariskan aspirasi-aspirasi melalui 11 anjakan dalam Tiga Gelombang. Penggemblengan tersebut memerlukan agen penggerak yang bergelar guru. Persoalannya, apakah peranan guru dalam menghadapi cabaran pada masa kini? Apakah pula cabang-cabang cabaran yang harus dihadapi seorang guru pada hari ini? Adakah cabaran tersebut disedari guru demi meningkatkan kualiti pendidikan pada abad ini?
            Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2015:232)[NA1] , cabaran ditakrifkan sebagai hasil mencabar (mempersoalkan, mempertikaikan), ajakan (untuk berlawan dan sebagainya), sesuatu (unsur, faktor dan sebagainya) yang mencabar (menguji kemampuan dan ketabahan seseorang atau sesuatu organisasi dan lain-lain, pekerjaan yang penuh cabaran. Manakala secara konseptualnya, cabaran bererti sesuatu yang menguji kemampuan individu dalam sesebuah organisasi. Justeru, bidang perguruan memainkan peranan penting dalam menongkah arus cabaran meningkatkan kualiti pendidikan Malaysia secara tidak langsung implikasi terhadap pelajar sekolah.


2.0 PERANAN GURU UNTUK MENGHADAPI CABARAN KERJAYA GURU MASA KINI

            2.1 PERANAN GURU DALAM KEMAHIRAN TEKNOLOGI MAKLUMAT
Hasil kajian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada tahun 2010 [NA2] menyatakan bahawa hanya 80 peratus guru mengimplementasikan ICT kurang satu jam seminggu walhal peruntukan sebanyak RM 6 bilion lebih telah dibelanjakan sejak beberapa dekad lalu demi pembestarian pendidikan. Justeru, apakah yang menghalang para guru untuk mengaplikasikan ICT dalam bilik darjah? Rentetan itu merupakan cabaran yang dihadapi guru pada masa kini apabila anjakan ke-7 mengesa tenaga pengajar memanfaatkan ICT. [NA3] 
              Konteks tersebut tidak dapat dinafikan bahawa guru hendaklah menguasai kemahiran Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Implisitnya terhadap guru dapat mempelbagaikan kaedah penyampaian dan pengajaran dalam bilik darjah. Penggunaan TMK multimedia interaktif seperti video, animasi, visual grafik dan muzik membantu pelajar memahami sesuatu konsep. Tamsilannya, matapelajaran sains yang berkaitan bentuk molekul DNA dan genetik manusia boleh ditayangkan secara animasi dan visual melalui alat TMK seperti projector LCD.
              Guru hendaklah memahami tutorial menggunakan aplikasi tersebut kerana setiap perisian memerlukan masa untuk dipelajari. Menurut Sue Johnston-Wilder dan David Pimm (2005)[NA4]  berpendapat bahawa “Each tool takes time to learn and to become familiar with; it is worth ‘cracking a nut with a hammer’ (especially if you rarely eat nuts) as learning to use a more specialized tool generally takes longer than adapting a more familiar one.” (hlm. 19). Antara perisian yang boleh dijadikan bahan pengajaran adalah Aurasma, Wondershare, Kahoot!, Powtoon, Prezi, Sway dan lain-lain. Di samping itu, membantu guru untuk menarik minat murid untuk menerokai sesuatu yang baru. Halimah Harun (2002) [NA5] ada menyatakan bahawa pengajaran guru yang mampu menarik minat pelajar akan mendorong mereka untuk berusaha mencapai prestasi dalam bilik darjah

              2.2 APLIKASI ILMU PENGETAHUAN DALAM KEHIDUPAN SEBENAR
Menyingkap isu kontemporari sistem pendidikan Malaysia yang mengejutkan apabila keputusan penilaian antarabangsa Programme for International Student Assessment (PISA) dan  Trends In Mathematics and Science (TIMSS) merundum pada tahun 2012 mengakibatkan kedudukan sepertiga terbawah daripada 74 buah negara[NA6] . Kedua-dua penilaian tersebut merupakan kajian Organisation for Economic Co-Operation and Development (OECD) [NA7] terhadap sistem pendidikan sesebuah negara dalam penguasaan Sains, Bacaan dan Matematik. Penilaian antarabangsa amat berteraskan aplikasi pengetahuan dalam kehidupan sebenar yang tidak dapat dikuasai pelajar Malaysia.
              Berikutan senario tersebut menjadi cabaran kepada peranan guru meningkatkan kemahiran pelajar untuk mengimplementasikan ilmu kurikulum secara realistik. Guru perlu bijak menghubung kait pelajaran dengan pesekitaran untuk mengembangkan pemikiran pelajar (Nur Ashikin Ismahun et.al, 2011). [NA8] Contohnya, subjek Matematik tajuk matrik dapat diaplikasikan membuat kod komputer. Hal tersebut penting kerana kajian kemahiran dewasa oleh OECD juga menunjukkan bahawa kemahiran Matematik yang lemah akan menghalang ketercapaian masyarakat kepada gaji yang lebih tinggi serta pekerjaan yang memuaskan (Zhairil Khir Johari, 2014). [NA9] Peranan guru tidak dapat dinafikan dalam konteks isu tersebut kerana 60 peratus guru pada hari ini masih mengajar 20 tahun akan datang (Khadijah Abdullah, 2014).[NA10] 

              2.3 PERANAN GURU MENERAPKAN NILAI DALAM KALANGAN PELAJAR
Laporan Jabatan Agama Islam Selangor (2010) [NA11] mencatatkan bahawa terdapat ideologi barat yang telah menular dalam negara Malaysia sekian lama secara halus tanpa disedari. Ideologi tersebut khasnya dikaitkan dengan remaja pada hari ini yang mengalami proses pertembungan budaya iaitu ketara menyimpang akar umbi ketimuran masyarakat Malaysia khususnya. Demikian merupakan suatu gambaran tentang fenomena muda-mudi abad ke-21.
              Sejajar itu, menjadi cabaran terhadap kerjaya guru masa kini untuk menerapkan nilai patriotisme dan keagamaan dalam rohani pelajar. Semangat cintakan negara penting agar dapat memartabatkan pembinaan negara bangsa di Malaysia. Oleh itu, guru berperanan untuk lebih holistik iaitu dengan peka terhadap isu semasa yang boleh mempengaruhi minda dan sikap pelajar daripada terpesong dengan budaya ketimuran.
              Tatkala capaian internet di hujung jari merentas glob muka bumi mudah mempengaruhi pelajar seperti pendedahan ideologi-ideologi barat. Contohnya, globalisasi juga merupakan salah satu ideologi yang boleh mengubah cara hidup seseorang dari aspek pemakaian, percakapan dan perbuatan selain mencabar pegangan Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK).

              2.4 PERANAN GURU DALAM BIDANG BAHASA
Kejayaan penguasaan bahasa asing dalam pendidikan Rusia, China, Jerman, Arab, Perancis dan Inggeris langsung tidak mengganggu-gugat jati diri bangsa tersebut terhadap bahasa kebangsaan. Namun, negara-negara tersebut mampu merentas peringkat global dan menjadi rujukan di persada dunia. Manakala, menelusuri polemik isu bahasa Melayu di Malaysia telah terhimpit dalam mengejar arus modenisasi semenjak abad pascamerdeka.
            Lantaran itu menjadi salah satu cabaran guru untuk mengukuhkan jati diri pelajar terhadap bahasa Melayu serta berupaya mempelajari bahasa tambahan. Guru perlu menjadi role model dari aspek pertuturan ketika mengajar dalam bilik darjah. Pertuturan seorang guru hendaklah tepat dari sudut laras bahasa dan tatabahasa. Contohnya, laras bahasa Melayu dalam bidang Sains dan Matematik. Penulisan seseorang pelajar pula hendaklah disemak dengan lebih teliti berdasarkan aspek morfologi dan sintaksis misalnya dalam matapelajaran bahasa Melayu.
            Hasil daripada langkah tersebut mampu melahirkan pelajar yang peka terhadap bahasa kebangsaannya. Malahan, menggambarkan bahawa sebaik sahaja pelajar menamatkan zaman persekolahan mampu menjulang bahasa Melayu sehingga peringkat antarabangsa. Sebagai iktibarnya, Profesor Wu Zongyu selaku Tokoh Pejuang bahasa Melayu berasal dari China dapat menubuhkan Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University (BFSU[NA12] ). Persoalannya, mengapa tidak bangsa Melayu sendiri?

            2.5 PERANAN GURU SEBAGAI PENGAMAL PERSONALITI CEMERLANG
Utusan Online (2014) melaporkan isu dalam ruangan media massa bahawa terdapat guru memaksa pelajar makan rumput kerana gagal menyiapkan latihan yang diberikan. Tatkala isu tersebut menular di laman sosial telah mencalar martabat profesion keguruan khususnya. Oleh itu, dapat dinyatakan bahawa peranan guru sebagai pengamal personaliti cemerlang.    
            Personaliti memerlukan nilai kendiri yang positif seperti berdedikasi, bertimbang rasa, bersikap terbuka, adil dan sebagainya untuk mengelakkan isu-isu yang melanggar etika keguruan. Guru bukan sahaja memainkan peranan mengajar matapelajaran namun hendaklah berkeperibadian yang disenangi oleh pelajar. Berikutan itu, guru hendaklah menunjukkan personaliti positif agar dapat membantu pelajar bermasalahan sosio-emosi. Contohnya, terdapat pelajar menunjukkan sikap pasif untuk menyelesaikan latihan matematik yang kompleks dalam bilik darjah. Oleh itu, guru wajar menunjukkan sikap keterbukaan membantu dan membina keyakinan pelajar semula.
            Tambahan pula, guru perlu menyelitkan sikap bertimbang rasa seperti penukaran penilaian fomatif untuk membantu pelajar bermasalah. Menurut Noraini Idris dan Shuki Osman (2009) menjelaskan penilaian formatif memerlukan pertanyaan dan pemikiran mendalam dengan melakukan perbincangan bersama guru dan rakan sebaya untuk meningkatkan keyakinan pelajar terhadap pembelajaran.

3.0 TAHAP KESEDARAN GURU MASA KINI UNTUK BERUBAH DEMI MENINGKATKAN KUALITI PENDIDIKAN DALAM KALANGAN MURID SEKOLAH   

            3.1 TAHAP KESEDARAN GURU DALAM PENGGUNAAN ICT

Sebagai pemimpin  generasi akan datang, pengetahuan dan kemahiran guru mengenai teknologi maklumat mesti mencapai suatu tahap yang melebihi pengetahuan umum. Tidak mustahil perubahan budaya guru dalam era infotek pada masa kini mampu meruntuhkan ‘dinding-dinding kelas’ kerana pembelajaran bersifat ‘langit terbuka’ melalui perisian multimedia, internet, emel, audio-video dan sebagainya berpotensi menjangkaui 59 tahun setelah wawasan 2020 kelak (Hamdan Said & Nasrudin Talib, 2000[NA13] ). Namun demikian, kajian menunjukkan bahawa hanya 40% sahaja guru yang menggunakan teknologi dalam sesi pengajaran dan pembelajaran pada tahun 2013 (Sandra Rahman, Abu Bakar Nordin & Norlidah Alias, 2013).[NA14]  Hasil tinjauan tersebut menunjukkan tahap kesedaran guru kurang memuaskan untuk berubah dalam meningkatkan kualiti pendidikan murid sekolah.
            Pada umumnya, halangan tersebut berakar umbi dari guru veteran dan mengajar di kawasan luar bandar. Johan @ Eddy Luaran (2011) membuktikan bahawa guru di kawasan pedalaman kurang menggunakan teknologi kerana faktor jarak, kemudahan telekomunikasi serta pengaksesan. Manakala guru veteran kurang kompeten teknologi maklumat dan komunikasi kerana keselesaan cara tradisional. Albaugh (1997) [NA15] menyatakan bahawa keraguan guru akan timbul untuk mengimplementasikan idea-idea baru kerana merasa selesa dengan kaedah yang dilakukan selama proses perkhidmatan.
            Menyingkap pula tahap kesedaran guru yang tinggi untuk berubah demi kualiti pendidikan dalam kalangan pelajar pada masa kini berbeza apabila berketerampilan menguasai teknologi maklumat dan komunikasi. Keupayaan berubah seiring dengan kemajuan membolehkan guru lebih fleksibel walau bagaimanapun atmosfera sekolah mahupun veteran atau luar bandar. Menurut Hamdan Said dan Nasruddin Talib berdasarkan parafrasa Hoffer 1992 menegaskan bahawa individu berkeinginan untuk menyesuaikan diri sahaja dapat mewarisi kemajuan dunia setiap detik perubahan zaman, manakala cendiakawan ego akan terkapai-kapai di atmosfera yang tidak dikenali oleh diri sendiri. Keberhasilan membudayakan teknologi dalam kalangan guru dapat melahirkan pelajar yang bukan sahaja berintelektual malahan mampu membincangkan tentang konsep dunia tanpa sempadan pada suatu ketika nanti.

            3.2 TAHAP KESEDARAN GURU TERHADAP KEMAHIRAN BERFIKIR ARAS TINGGI

Pentaksiran antarabangsa Trends In Mathematics and Science (TIMSS) dan Programme for International School Assessment (PISA) yang berkonsepkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) menunjukkan pendidikan Malaysia berkedudukan kritikal pada tahun 2011 apabila 35% pelajar gagal mencapai tahap minimum dalam pencapaian penanda aras penilaian Matematik dan Sains (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2013). Peratusan tersebut menggambarkan bahawa pelajar kurang memuaskan dari aspek pengguasaan KBAT.
            Bertitik tolak daripada itu merupakan natijah tahap kesedaran guru yang kurang terhadap kualiti pendidikan di Malaysia. Guru yang kurang memberangsang pemikiran pelajar berpunca daripada sikap terkabas untuk mengkhatamkan sukatan pembelajaran tanpa menitikberatkan penaakulan pelajar. Kesannya, PISA membuktikan Malaysia menguasai secara minimum dalam matematik kerana tiada kebolehan melakukan penaakulan terus dan interpretasi literal  bagi sesuatu keputusan (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2013).
            Berbeza dengan guru yang mempunyai tahap kesedaran tinggi untuk meningkatkan daya kognitif pelajar akan menggunakan pemetaan i-Think, alat-alat CoRT dan pengurusan grafik dalam proses pengajaran. Indikator tersebut akan melahirkan pemikiran pelajar yang kreatif dan kritis untuk membuat penaakulan (Ee Ah Meng, 2003). [NA16] Kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif amat diperlukan agar pelajar mengalami pembelajaran secara fikrah  (thoughtful learning) secara tidak langsung dapat membuat keputusan berpandukan keterangan muhasabab yang rasional serta berjustifikasi (Hamdan Said & Nasarudin Taib, 2000). Oleh itu, hasrat mencapai kedudukan sepertiga teratas dalam penilaian antarabangsa bukan sekadar abstrak.

            3.3 TAHAP KESEDARAN GURU TERHADAP TEKNIK PENGAJARAN DAN     PEMBELAJARAN

Pendekatan berpusatkan guru dilihat sebagai pengajaran kurang berkesan dan berteraskan kepada mazhab behaviourisme. Guru yang hanya menggunakan kaedah tersebut dijustifikasikan sebagai tahap kesedaran yang kurang memberangsangkan. Menurut Shamsina Shamsuddin (2010) [NA17] menyatakan bahawa ciri-ciri guru yang dkategorikan Tahap I (lemah) akan mengajar tanpa struktur dari aspek perkembangan isi kandungan malahan penyataan hasil pembelajaran tidak dikongsikan dengan murid serta tiada rancangan untuk meningkatkan kemahiran dan kefahaman murid. Hal tersebut menyebabkan efikasi pengajaran rendah kerana keselesaan strategi berpusatkan guru sedemikian (Ahmad Zamri Khairani, 2012).[NA18] 
            Corak pengajaran dan pembelajaran bagi guru yang menerapkan tahap kesedaran tinggi pula berbeza. Buktinya, guru akan mengaplikasikan teori pembelajaran dan pengajaran secara subordinat dan superodinat agar keberkesanannya menyumbang kepada hasrat kurikulum dalam bidang pendidikan (Alice Kong e t. al, 2009). [NA19] Di samping itu, guru akan melibatkan pelajar secara aktif melalui gabungan pembelajaran psikomotor dan intelektual agar tidak mendominasikan sesi pengajaran dalam bilik darjah. Kaedah tersebut akan memberansangkan pengetahuan pelajar dan kefahaman yang utuh.

            3.4 TAHAP KESEDARAN GURU TERHADAP KEMAHIRAN KOMUNIKASI

Komunikasi merupakan aktiviti verbal dan bukan verbal yang tidak dapat dielakkan dalam kehidupan manusia. Komunikasi amat mementingkan kefahaman seseorang agar mesej disampaikan berkesan. Aktiviti verbal melibatkan pengucapan yang melahirkan pemikiran, perasaan dan tindak balas terbalas terhadap sesuatu isu atau persoalan lantas memperlihatkan identiti seseorang (Faridah Nazir et. al). [NA20] Sementara komunikasi bukan verbal berlaku melalui hubungan mata, pergerakan badan, air muka, pakaian, keterampilan, penglibatan pendengar, penggunaan gurau senda dan sifat semula jadi guru.  Sebagai guru akan berkomunikasi secara verbal untuk menyampaikan pelajaran dan arahan manakala bukan verbal memerlukan mimik muka serta menggerakkan anggota badan mengekspresikan sesuatu diucapkan.
            Kelemahan guru berkomunikasi dengan berkesan bukan sahaja boleh menyebabkan objektif pengajaran dan pembelajaran yang dirancang akan gagal tetapi turut boleh menyebabkan murid mengalami perasaan tidak puas hati, kecewa, tekanan psikologi, kesihatan fizikal, kesepian, hilang perasaan kasih sayang dan sebagainya (Mohd Khairuddin Abdullah, 2014)[NA21] . Justeru, tersebut merupakan tahap kesedaran rendah seorang guru terhadap kemahiran berkomunikasi. Guru yang berkesedaran tahap lemah dari aspek kemahiran komunikasi mewujudkan suasana bilik darjah yang suram.
            Jika senario ini berlanjutan nescaya tunjang komunikasi yang ditekankan dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) sukar mencapai objektif pada masa hadapan. Malahan turut mendatangkan impak terhadap pelajar sekolah untuk melanjutkan pelajaran sebagai graduan. Walhal kajian Jobstreet (2015) [NA22] telah merekodkan sebanyak 60 peratus graduan kurang kemahiran komunikasi gagal dalam temu duga.
            Kontrakdiksi dengan guru mempunyai tahap kesedaran tinggi berkebolehan menguasai kemahiran komunikasi. Guru yang sedar akan kemaslahatan kemahiran komunikasi berupaya menambat sanubari pelajar dalam proses pembelajaran dan pembelajaran. Ciri-ciri guru berkemahiran komunikasi akan menekankan komunikasi dua hala boleh mendorong pelajar melibatkan diri dalam bilik darjah. Contohnya, kaedah perbincangan dan aktiviti soal jawab. Konteks tersebut mampu mewujudkan rapport (kemesraan) dalam suasana bilik darjah (Mok Soon Sang, 2011).

            3.5 TAHAP KESEDARAN GURU DALAM KEMAHIRAN MENILAI

Kesedaran diri penilaian kendiri seorang guru dibahagikan kepada tiga aspek iaitu persepsi, pengakuan perkembangan peribadi dan penentuan matlamat diri (Siow H.L et. al., 2005). [NA23] Seorang guru yang mempunyai tahap kesedaran lemah akan bersikap enteng untuk menilai semula hasil pengajaran. Terdapat sikap guru yang enggan melakukan perubahan kerana kebiasaan teknik pengajaran. Oleh itu, sukar untuk golongan begini membuat refleksi tujuan penambahbaikkan. Impak tahap kesedaran lemah terhadap kemahiran menilai tersebut akan menyebabkan mutu pengajaran tidak berkualiti secara tidak langsung melibatkan pelajar.
            Menyedari akan kepentingan kemahiran menilai pula dapat digambarkan apabila guru berupaya melakukan dua fasa refleksi selepas pengajaran iaitu tahap deskriptif dan tahap kritikal. Tahap deskriptif merupakan suatu soalan kesedaran yang memikirkan apakah perlu dilakukan sebagai seorang guru. Manakala tahap kritikal melibatkan tindakan lanjutan untuk melakukan penambahbaikkan. Kesedaran guru terhadap aspek penilaian kendiri wajar bagi meningkatkan kualiti pendidikan dalam kalangan pelajar sekolah khususnya.

            4.0 PENUTUP

Kesimpulannya, tidak dapat dinafikan dalam bahawa gelombang perubahan dalam sistem pendidikan dengan cabaran hebat era teknologi maklumat memerlukan guru berkepimpinan secara global. Malahan, paksi kekuatan sesebuah negara itu terbina di atas para ilmuwan yang berhikmah iaitu peranan guru. Rasional untuk guru melengkapkan diri dari pelbagai aspek dalam menongkah arus cabaran.
            Pengajaran dan pembelajaran seorang guru memerlukan perancangan strategik dan sistematik demi keberhasilan pelajar pada jangka masa panjang. Pembestarian kemahiran pedagogi  penting kerana mempengaruhi impak positif mahupun negatif terhadap suasana dalam bilik darjah. Guru perlu peka terhadap kaedah pembelajaran abad ke-21 dengan penerapan nilai agar pelajar seimbang dari aspek akademik dan sahsiah. Guru juga perlu mengukur tahap perkembangan keberkesanan pengajaran dengan penilaian kendiri supaya dapat menambah baik kepincangan.
             Walau bagaimanapun, segala mujahadah peranan seorang guru demi menghadapi cabaran masa kini turut memerlukan sumbangsih padu komuniti. Atas komitmen padu mampu meningkatkan kualiti pendidikan sebagaimana yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan untuk mencapai hasrat pendidikan berkualiti peringkat antarabangsa.


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ISU DAN CABARAN MENINGKATKAN KUALITI PENDIDIKAN BERTARAF ANTARABANGSA

PENGENALAN Dunia sekarang sedang menghadapi era globalisasi yang kian memuncak. Ledakan era globalisasi meletakkan Malaysia berhadapan dengan pelbagai cabaran. Demi mewujudkan negara bangsa berkualiti hendaklah bermula daripada pendidikan. Pendidikan merupakan mekanisme asas dalam meningkatkan pembangunan negara agar dapat berdaya saing di peringkat antarabangsa. Pendidikan memerlukan gemblengan tenaga daripada semua pihak bagi mengangkat status Malaysia dalam dunia pendidikan bertaraf dunia.             Oleh itu, Kementerian Pendidikan Malaysia telah menyertai penilaian antarabangsa iaitu Programme for International Student Assessment (PISA) dan Trends in Mathematics and Science Study (TIMSS) untuk mengukur taraf kualiti pendidikan negara. Namun demikian, sejauh mana kedudukan Malaysia dalam penyertaan penilaian antarabangsa tersebut? Persoalan tersebut timbul setelah melihat keputusan negara Malaysia berada pada kedudukan sepertiga terbawah di antara 74 buah negara. Kementeri

ISU DAN CABARAN MEMARTABATKAN TULISAN JAWI

1.0 Pengenalan             Tulisan Jawi merupakan warisan bangsa Melayu semenjak kedatangan Islam ke Kepulauan Melayu pada abad ke-10. Kewujudan tulisan Jawi amat sinonim dengan penduduk Tanah Melayu yang beragama Islam pada ketika itu. Malahan, tulisan Jawi ini dikenali sebagai tulisan Melayu-Arab di Nusantara kerana Hashim Musa (1999) ada mengesahkan bahawasanya Shellbear mengatakan orang Melayu menerima secara langsung tulisan Jawi daripada orang Arab. Kegemilangan tulisan Jawi pada abad-ke 18 tidak dapat dinafikan apabila penjajah Barat mempelajari untuk membaca dan mengejanya. Suatu ketika dahulu juga menggambarkan bahawa tulisan Jawi amat terserlah dalam kesusasteraan, kesenian dan kebudayaan Melayu. Menurut Keong Kyoung Seock (1990) ada menyatakan bahawa zaman kesusasteraan dahulu merupakan wahana masyhur dalam tulisan Jawi. Namun, adakah kegemilangan tulisan Jawi pada zaman dahulu masih relevan pada masa kini?             Pelbagai polemik isu yang timbul dalam kalangan mas