Langkau ke kandungan utama

ISU DAN CABARAN MEMARTABATKAN TULISAN JAWI

1.0 Pengenalan

            Tulisan Jawi merupakan warisan bangsa Melayu semenjak kedatangan Islam ke Kepulauan Melayu pada abad ke-10. Kewujudan tulisan Jawi amat sinonim dengan penduduk Tanah Melayu yang beragama Islam pada ketika itu. Malahan, tulisan Jawi ini dikenali sebagai tulisan Melayu-Arab di Nusantara kerana Hashim Musa (1999) ada mengesahkan bahawasanya Shellbear mengatakan orang Melayu menerima secara langsung tulisan Jawi daripada orang Arab. Kegemilangan tulisan Jawi pada abad-ke 18 tidak dapat dinafikan apabila penjajah Barat mempelajari untuk membaca dan mengejanya. Suatu ketika dahulu juga menggambarkan bahawa tulisan Jawi amat terserlah dalam kesusasteraan, kesenian dan kebudayaan Melayu. Menurut Keong Kyoung Seock (1990) ada menyatakan bahawa zaman kesusasteraan dahulu merupakan wahana masyhur dalam tulisan Jawi. Namun, adakah kegemilangan tulisan Jawi pada zaman dahulu masih relevan pada masa kini?
            Pelbagai polemik isu yang timbul dalam kalangan masyarakat mutakhir ini mengenai pemartabatan tulisan Jawi yang kian samar-samar dan lemah tahap kemampuan daya saing. Kebenaran yang nyata tersebut mendukacitakan nilai martabat sesebuah warisan bangsa. Hakikat penggunaan tulisan Jawi pada realiti abad pemodenan abad ke-21 amat terhad sekali. Cetusan isu daripada pelbagai pihak membimbangkan status tulisan Jawi di Malaysia khususnya. Bertitik tolak daripada itu, menjadi persoalan apakah punca yang kekangan memartabatkan tulisan Jawi? Bagaimanakah isu kepenggunaan tulisan Jawi berbangkit sedangkan ia bersifat abstrak dalam kesenian Islam?
            Setiap ayat ada noktah, justeru setiap permasalahan ada penyelesaian. Rentetan pelbagai persoalan yang berbangkit dewasa ini menyeru pelbagai pihak memainkan peranan dalam usaha memartabatkan tulisan Jawi. Keadaan tulisan Jawi yang terumbang-ambing dalam kemajuan dunia yang penuh fulus perlu digiatkan. Kendatipun demikian, adakah usaha dan isu yang diperihalkan bertepatan mahupun mencakupi penyelesaian secara meluas?

2.0 Isu dan cabaran memartabatkan tulisan Jawi

            2.1 Isu tulisan Jawi sebagai ideologi dakwah
            a. Cabaran persepsi masyarakat bukan Melayu

            Desakan menanggalkan tulisan Jawi pada papan tanda Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Mertajam menjadi polemik isu hangat tahun 2014 di Malaysia. Paparan ini memerihalkan bahawa tulisan Jawi merupakan ideologi dakwah yang cuba disebarkan orang Islam kepada penganut agama lain (Mohd Idros Mohd Ali, 2014). Rentetan itu, menjadi cabaran terhadap iltizam pemartabatan tulisan Jawi apabila terdapat persepsi pesong dalam kalangan masyarakat Malaysia terutamanya bukan Melayu pada masa kini. Lantaran itu, kekangan yang timbul tersebut jelas membuktikan bahawa terdapat sebilangan pemikiran rakyat Malaysia cetek dalam pengetahuan umum. Kecetekan tersebut merujuk kepada pengetahuan tentang sejarah penggunaan tulisan Jawi sejak kedatangan Islam ke Kepulauan Melayu lagi. Konteks tersebut menjelaskan bahawa skop pemikiran masyarakat bukan Melayu menganggap bahawa tulisan Jawi hanya digunakan oleh orang Islam. Oleh hal yang demikian kerana pada hakikatnya sudut pandangan sempit golongan ini berada dalam kekeliruan dan kekacauan jati diri sebagai bangsa Malaysia.
            Permasalahan jati diri tersebut merujuk kepada sikap bangsa Malaysia terhadap bahasa Melayu sendiri. Seseorang yang tidak cinta bahasa akan mengalami permasalahan dalam pengetahuan sejarah bahasa kebangsaan (bahasa Melayu) itu sendiri. Menurut Mohd Rashid Hj. Md. Idris (2013) ada menyatakan bahawa sesungguhnya masalah kelemahan penjiwaan akan memberi impak terhadap pengamalnya. Sehubungan itu, menjadi akar umbi tulisan Jawi tidak diketahui umum bahawa kewujudan tulisan Rumi merupakan adaptasi tulisan Jawi. Menurut Hashim Musa (2003) yang memetik teks Fatmi (1963) membuktikan bahawa pengkaji-pengkaji Al-Attas menggunakan skrip Jawi untuk mengeja teks bahasa Melayu yang terdapat pada Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 702 H/1303 M. Adi Yasran et.al (2012) juga ada menyokong bahawa prasasti tersebut terkandung bahasa Melayu ditulis menggunakan tulisan Jawi. Tidak dapat dinafikan lagi bahawa apabila kesahihan kepenggunaan tersebut telah memberi suatu gambaran terhadap masyarakat bukan Melayu tulisan Jawi merupakan keperluan golongan penganut Islam sahaja (Nur Azuki & Siti Bahirah Saidi, 2014).
2.2 Isu kelemahan bacaan Al-Quran punca ketidakmahiran mengenal Jawi.
            b. Cabaran ketidakmahiran tulisan Jawi dalam kalangan pelajar.
            Dapatan kajian oleh Siti Fatimah Sudin et. al. (2005) membuktikan pencapaian mata pelajaran Pendidikan Islam (PI), khususnya keupayaan bacaan al-Quran dalam kalangan murid-murid sekolah rendah dan menengah masih berada pada tahap yang belum memuaskan. Berikutan itu, pelajar kurang mahir dalam pembacaan Al-Quran adalah faktor kurang berkemahiran dalam huruf Jawi yang menjadi cabaran memartabatkan tulisan Jawi. Kelemahan pelajar dalam penguasaan Jawi suatu cabaran yang kritikal untuk kegunaan masa depan. Fenomena ini telah menatijahkan suatu sentimen “Hidup Segan Mati Tak Mahu” kepenggunaan tulisan Jawi dalam kalangan pelajar.
            Ketidakmahiran pelajar dalam konteks isu merujuk kepada aspek kemahiran asas membaca, menulis dan mengeja Jawi. Terdapat kesalahan ejaan tulisan Jawi dalam kalangan pelajar bertitik tolak daripada kekeliruan penggunaan huruf Jawi yang tepat, hukum-hukum pengejaan dan pengimbuhan ejaan( Aziah Ismail, 2000). Apabila perkara ini berterusan akan mengakibatkan generasi muda mengabaikan warisan bangsa Melayu iaitu tulisan Jawi. Konteks penyataan tersebut tidak dapat disangkal apabila dalam titah Raja Nazrin Shah pada persidangan bahawa tulisan Jawi merupakan warisan sejarah Melayu yang telah memartabatkan bahasa Melayu dalam komponen penulisan yang indah dan kaya tersebut (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2015).
            Tambahan pula, ketidakmahiran tersebut berpunca daripada faktor sosioekonomi pelajar. Kekangan kewangan menyebabkan ibu bapa tidak mengambil berat tentang kepentingan mempunyai wadah sokongan alternatif demi mengukuhkan penguasaan anak-anak dalam tulisan Jawi. Karya Sufean Hussin, Shahril Marzuki, Ahmad Zabidi Abdul Razak, Habib Md.Som & Alina Ranee (2005) ada menyatakan bahawa pelajar yang lemah menguasai tulisan Jawi disebabkan oleh pendapatan keluarga yang sederhana untuk menyediakan bahan sokongan, insentif dan kemudahan pelajaran Jawi. Keadaan ini turut disokong Kementerian Pendidikan Malaysia yang mengkategorikan perbezaan status sosioekonomi akan mempengaruhi prestasi pelajar. Malahan, segelintir ibu bapa yakin sekiranya tulisan Jawi tidak dikuasai, anak-anak masih dapat melanjutkan pembelajaran ke peringkat seterusnya.

2.3 Isu kompetensi guru pendidikan Islam
            c. Cabaran tahap kemahiran guru

            Guru Pendidikan Islam merupakan indikator utama di sekolah demi keberhasilan pemartabatan tulisan Jawi yang akan digiatkan oleh pelajar pada masa hadapan kelak. Pendidikan Islam menjadi faktor pemartabatan tulisan Jawi sukar mencapai matlamat. Buktinya, dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat para guru pendidikan Islam kurang kompeten dalam penulisan Jawi (Bhasah Abu Bakar et.al, 2012). Lanjutan perkara itu mengakibatkan keberhasilan murid untuk menguasai tulisan Jawi akan terbantut. Bukan itu sahaja, guru yang tidak menguasai penulisan Jawi akan mempengaruhi minat pelajar. Penguasaan dalam sesuatu bidang penulisan memerlukan minat seseorang kerana mempunyai hubung kait dengan tingkah laku individu. Menurut Nik Rosila Nik Yaacob (2007) ada menyatakan bahawa faktor minat seseorang individu akan mempengaruhi pencapaian dalam tulisan Jawi.       

2.4 Isu penghentian akhbar Utusan Melayu dalam tulisan Jawi
            d. Cabaran penggunaan meluas tulisan Rumi

            Tarikh sadis 29 Januari 2009 serta merta telah mengejutkan apabila akhbar Utusan Melayu yang merupakan satu-satunya akhbar yang menggunakan tulisan Jawi diberhentikan penerbitannya (Mohamad Shafiq Rohaizad Buyong, 2012). Faktor utama isu tersebut disebabkan oleh kurang sambutan daripada masyarakat khasnya Masyarakat Melayu sendiri. Sedangkan sambutan masyarakat Melayu kurang memberangsangkan kepenggunaan tulisan Jawi dalam media cetak inikan pula kaum lain. Polemik isu ini memberi impak yang cukup besar terhadap peranan tulisan Jawi dalam Utusan Melayu. Pada dasarnya, Utusan Melayu merupakan tiupan semangat pejuang pencinta tanah air dan pencanai minda perintis tuntutan bangsa suatu ketika dahulu namun lalu tanpa nisan (Zaini Hassan, 2016). Lantaran itu, pemartabatan Jawi sebenarnya berhadapan cabaran kewujudan Akta Kebangsaan 1963 yang menyeru penggunaan tulisan Rumi bagi bahasa kebangsaan. Penubuhan akta tersebut perlahan-lahan telah meminggirkan serta menutup pandangan masyarakat segenap lapisan mengenai kewujudan tulisan Jawi.

3.0 Cadangan mengatasi


3.1 Menyebarluaskan penggunaan tulisan Jawi
            Isu pandangan masyarakat terhadap tulisan Jawi sebagai ideologi dakwah perlu ditangkis agar tidak menimbulkan sentimen-sentimen sensitiviti keagamaan. Menjadi peranan pihak jabatan kerajaan, swasta dan badan berkanun untuk menggembleng sinergi memperkasakan tulisan Jawi dengan menggunakannya pada setiap perlaksanaan sesuatu program atau aktiviti. Di samping itu, menurut Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah agar kerajaan negeri menjalankan usaha mengembalikan martabat tulisan Jawi secara berperingkat dalam urusan pentadbiran.
            Perkara tersebut mustahak agar masyarakat yang dalam perkhidmatan dapat mendorong dan menjentik suatu kesedaran pengetahuan bahawa penggunaan tulisan Jawi bukan diklasifikasikan khas untuk kaum Melayu sahaja. Manakala bagi menyedarkan kalangan masyarakat bukan Melayu, tulisan Jawi hendaklah disebar luas dengan mengaplikasikannya pada papan tanda premis perniagaan, sekolah, iklan dan jalan raya. Selain itu, Jabatan Penerangan Malaysia turut menyumbang dalam menjelaskan kepada masyarakat bahawa tulisan Jawi adalah tulisan yang patut diterima dalam masyarakat majmuk. Malahan, pengedaran bahan bercetak mahupun elektronik perlu dipergiatkan agar maklumat dapat disampaikan secara efektif.

3.2 Memperkasakan perlaksanaan j-QAF di sekolah
            Isu ketidakmahiran pelajar dapat diatasi dengan memperkasakan perlaksanaan Program j-QAF di sekolah. Contohnya, mengadakan kelas tambahan pemulihan Jawi dalam kalangan pelajar daripada aspek kelancaran membaca, mengeja dan menulis Jawi untuk meningkatkan kemahiran asas. Pihak sekolah juga perlu memantau perlaksanaan program tersebut agar selaras dengan objektif. Menjadi peranan Guru Besar memantau perlaksanaan Model Kelas Pemulihan Jawi, mesyuarat penyelarasan perlaksanaan dan penubuhan jawatankuasa pelaksana (Ahmad Mohd Salleh, 2008). Dalam pada itu, Ketua Panitia Pendidikan Islam, guru mata pelajaran dan pemulihan juga perlu bertanggungjawab memastikan pelajar mampu menguasai tulisan Jawi serta membangkitkan suatu penjiwaan tinggi terhadap warisan bangsa Melayu. Setelah masalah penguasaan Jawi dapat diatasi maka isu kelemahan bacaan al-Quran secara tidak langsung mendapat kesan positif pada masa yang panjang.
             Pelajar yang berhadapan masalah kewangan untuk memenuhi keperluan pembelajaran hendaklah memohon bantuan daripada pihak sekolah. Pelajar perlu dorongan dalam proses pembelajaran terutamanya Jawi. Murid perlu insentif untuk bahan bacaan tambahan bagi mengukuhkan tahap kemahiran tulisan Jawi selain dapat memartabatkannya. Contohnya, mashaf al-Quran, buku aktiviti Jawi, buku Bahasa Arab dan bahan bantu belajar pemulihan Jawi. Implikasinya, pengukuhan kemahiran dalam tulisan Jawi akan menggambarkan masa depan warisan bangsa tersebut setelah pelajar melangkah keluar dari sekolah. Dalam pada itu, bantuan dan sokongan yang dilengkapkan dapat membentuk penjiwaan serta minat terhadap pembelajaran tulisan Jawi. Penghayatan terhadap tulisan warisan bangsa tersebut juga akan melahirkan pelajar yang menghargai serta berusaha mengekalkan kedudukan tulisan Jawi.

 3.3 Meningkatkan kemahiran penulisan Jawi guru pendidikan Islam
            Guru pendidikan Islam hendaklah berupaya menguasai kaedah pengejaan, penulisan dan pengimbuhan dalam sistem ejaan Jawi agar pelajar dapat merujuk dengan mudah. Sehubungan itu, guru hendaklah menarik minat pelajar dengan mengubah kaedah pengajaran dan pembelajaran secara kreatif. Contohnya, permainan secara talian untuk menarik minat pelajar mempelajari sesuatu baharu. Kaedah pembelajaran abad ke-21 menekankan aspek kemahiran guru menggunakan kemahiran teknologi selain berpengetahuan bidang tersendiri.    Manakala, guru yang berhadapan masalah untuk mengajar tulisan Jawi hendaklah diberikan kursus penulisan Jawi atau Buku Panduan Perlaksanaan j-QAF.


3.4 Pendedahan semula dalam media dan sistem pendidikan
            Pemberhentian penerbitan Utusan Melayu dalam tulisan Jawi dapat disokong oleh media cetak lain melalui peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). DBP hendaklah menerbitkan bahan bercetak yang mengandungi tulisan Jawi. Pendedahan semula kepada bangsa Malaysia penting untuk menyampaikan maklumat tentang kewujudan tulisan Jawi. DBP juga hendaklah menggalakkan penulis akhbar untuk menyelitkan berita atau artikel dalam tulisan Jawi. Penerbitan tersebut merangkumi artikel kepentingan tulisan Jawi dan kaedah mempelajarinya agar dapat menghidupkan semula sanubari masyarakat nilai estetika warisan bangsa. Penggunaan tulisan Jawi juga dapat dipertingkatkan dengan sistem pendidikan negara. Sistem pendidikan Malaysia hendaklah memperkenalkan Pendidikan Jawi bermula daripada peringkat sekolah rendah hingga menengah supaya pelajar dapat memupuk semangat cinta akan warisan bangsa. Di samping itu, diserap dalam subjek Bahasa Melayu kerana tulisan Jawi merupakan tonggak kepada pemartabatan bahasa kebangsaan pada zaman kegemilangan dahulu.

4.0 Rumusan

            Kesimpulannya, terdapat pelbagai isu yang timbul dalam memartabatkan tulisan Jawi yang sedangkan kewujudan tersebut pernah menyemarakkan suasana Tanah Melayu pada zaman kedatangan Islam. Kegemilangan tulisan Jawi telah terhakis sejak akar umbi lagi seterusnya mengundang persepsi sempit masyarakat Malaysia pada hari ini. Masalah ini apabila berlarutan pasti akan menenggelamkan tulisan Jawi sebagai citra warisan bangsa Melayu dalam kemajuan duniawi dipancing oleh fulus dan darjat. Mahukah bangsa Malaysia dikenal sebagai bangsa yang tidak memiliki pedoman dan warisan bangsa? Sudah pasti jauh di sudut sanubari masyarakat untuk merelakan semua perkara tersebut berlaku.   Harapan terhadap insan yang berpendidikan amat diperlukan dalam melestarikan semula penggunaan tulisan Jawi. Golongan berilmu sebagai pionir amat berpengaruh dalam mengubah segenap dimensi masyarakat ke arah iltizam pemartabatan tulisan Jawi. Dominasi pengenalan Akta Bahasa Kebangsaan 1963 yang mencakupi seluruh pengguna tulisan Rumi sehingga hari ini perlu diimbangi dengan tulisan Jawi. Ibu bapa sebagai salah satu komponen perlu memberi sokongan jitu kepada anak-anak terhadap kepentingan tulisan Jawi demi mengembalikan kegemilangan tersebut. Oleh hal yang demikian, segala sumbang sih padu pelbagai pihak perlu dipertingkatkan dalam usaha mengangkat martabat tulisan Jawi pada abad ini. Peranan pihak terlibat menggambarkan kekuatan imej pengekalan warisan bangsa yang sebenarnya menjadi pegangan sendiri. 


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ISU DAN CABARAN MENINGKATKAN KUALITI PENDIDIKAN BERTARAF ANTARABANGSA

PENGENALAN Dunia sekarang sedang menghadapi era globalisasi yang kian memuncak. Ledakan era globalisasi meletakkan Malaysia berhadapan dengan pelbagai cabaran. Demi mewujudkan negara bangsa berkualiti hendaklah bermula daripada pendidikan. Pendidikan merupakan mekanisme asas dalam meningkatkan pembangunan negara agar dapat berdaya saing di peringkat antarabangsa. Pendidikan memerlukan gemblengan tenaga daripada semua pihak bagi mengangkat status Malaysia dalam dunia pendidikan bertaraf dunia.             Oleh itu, Kementerian Pendidikan Malaysia telah menyertai penilaian antarabangsa iaitu Programme for International Student Assessment (PISA) dan Trends in Mathematics and Science Study (TIMSS) untuk mengukur taraf kualiti pendidikan negara. Namun demikian, sejauh mana kedudukan Malaysia dalam penyertaan penilaian antarabangsa tersebut? Persoalan tersebut timbul setelah melihat keputusan negara Malaysia berada pada kedudukan sepertiga terbawah di antara 74 buah negara. Kementeri

PERANAN DAN TAHAP KESEDARAN GURU

KANDUNGAN 1.0 PENGENALAN .. 2 2.0 PERANAN GURU UNTUK MENGHADAPI CABARAN KERJAYA GURU MASA KINI 3 3.0 TAHAP KESEDARAN GURU .. 6 4.0 PENUTUP .. 9 BIBLIOGRAFI 11 1.0 PENGENALAN Berdasarkan intipati puisi melankolik seorang pendidik Allahyarham Datuk Usman Awang dalam sajak “Guru O Guru” ada menggambarkan peranan guru pada setiap patah perkataan puitis beliau bahawa guru  mampu mengubah seorang manusia yang menguasai pelbagai bidang sehingga hari ini setelah 59 tahun Malaysia merdeka. Peranan guru amat mangli dan sinonim dalam pendidikan. Guru merupakan kerjaya yang amat disanjung dalam masyarakat segenap dimensi. Kendatipun demikian, masyarakat menganggap kerjaya guru mudah memperoleh pendapatan tinggi dan peluang cuti. Pelbagai tanggapan yang boleh dirumuskan kerjaya guru. Namun tanpa disedari, perkhidmatan guru memerlukan personaliti kebertanggungjawaban yang tinggi untuk menempuh cabaran mendidik, membimbing dan menunjuk ajar demi proses membentuk insaniah berg