Langkau ke kandungan utama

ISU DAN CABARAN MENINGKATKAN KUALITI PENDIDIKAN BERTARAF ANTARABANGSA

PENGENALAN


Dunia sekarang sedang menghadapi era globalisasi yang kian memuncak. Ledakan era globalisasi meletakkan Malaysia berhadapan dengan pelbagai cabaran. Demi mewujudkan negara bangsa berkualiti hendaklah bermula daripada pendidikan. Pendidikan merupakan mekanisme asas dalam meningkatkan pembangunan negara agar dapat berdaya saing di peringkat antarabangsa. Pendidikan memerlukan gemblengan tenaga daripada semua pihak bagi mengangkat status Malaysia dalam dunia pendidikan bertaraf dunia.
            Oleh itu, Kementerian Pendidikan Malaysia telah menyertai penilaian antarabangsa iaitu Programme for International Student Assessment (PISA) dan Trends in Mathematics and Science Study (TIMSS) untuk mengukur taraf kualiti pendidikan negara. Namun demikian, sejauh mana kedudukan Malaysia dalam penyertaan penilaian antarabangsa tersebut? Persoalan tersebut timbul setelah melihat keputusan negara Malaysia berada pada kedudukan sepertiga terbawah di antara 74 buah negara. Kementerian Pendidikan Malaysia juga telah melakukan pelbagai perubahan dalam sistem pendidikan agar bersifat fleksibel demi merealisasikan hasrat kedudukan sepertiga teratas peringkat antarabangsa.
            Justeru, apakah kekangan yang menjadi faktor kedudukan sadis Malaysia dalam PISA dan TIMSS tersebut? Apakah kepincangan sebenar dalam sistem pendidikan Malaysia yang harus dijustifikasikan demi memacu kualiti pendidikan bertaraf dunia? Apakah pula cabaran yang merencatkan hasrat kedudukan sepertiga teratas? Pelbagai persoalan timbul untuk melihat kejayaan sistem pendidikan Malaysia di persada antarabangsa.
            Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2015:232) , cabaran ditakrifkan sebagai hasil mencabar (mempersoalkan, mempertikaikan), ajakan (untuk berlawan dan sebagainya), sesuatu (unsur, faktor dan sebagainya) yang mencabar (menguji kemampuan dan ketabahan seseorang atau sesuatu organisasi dan lain-lain, pekerjaan yang penuh cabaran. Manakala secara konseptualnya, cabaran bererti menguji kemampuan individu dalam sesuatu organisasi. Dalam pada itu, justifikasi cabaran sistem pendidikan Malaysia akan dilihat pelbagai sudut perspektif individu dan sesuatu organisasi dalam merealisasikan hasrat sepertiga teratas di peringkat antarabangsa.

1.0       KELEMAHAN PERANAN GURU

Antara cabaran yang dihadapi oleh sistem pendidikan Malaysia dalam usaha mencapai hasrat kedudukan sepertiga teratas ialah kelemahan peranan pihak guru. Sistem pendidikan Malaysia amat sinonim dengan peranan seorang guru bagi menggerakkan kontigensi Pelan Pembangunan Pendidikan.
“Teachers are the most valuable resource available in schools, and low-performing students need qualified teachers to help them to improve. PISA finds that low performers in matemathics are more likely than students who perform at or above   baseline Level 2 to attend school that suffer from lack qualified teachers” (Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD), 2016             ms.160).
Kemahiran seorang guru terletak pada pendekatan pedagogi yang bersesuaian dalam pengajaran dan pembelajaran. Noraini Idris dan Shuki Osman (2009) ada mengatakan bahawa pengajaran merupakan sesuatu aktiviti yang kompleks dalam situasi dinamik. Kemahiran pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang jitu merupakan ciri guru berkualiti. Mohd. Nasiruddin Abd. Nasil (2012) menyokong bahawa bidang pertama yang ditekankan selain kecemerlangan dalam pengajaran dan pembelajaran adalah kualiti guru. Namun demikian, kelemahan seorang guru dapat dilihat apabila berusaha mengkhatamkan sukatan pelajaran semata-mata. Guru sepatutnya sebagai pembimbing bukan seperti spoon feeding yang hanya memberi impak sifat kebergantungan dalam diri pelajar (Muhammad Affrini Azim Zahari, 2015).
Di samping itu, menjadi cabaran sistem pendidikan Malaysia apabila terdapat guru bukan opsyen (bukan kemahiran bidang sebenar) mengajar matapelajaran seperti Matematik dan Sains menyebabkan pendekatan pedagogi sukar diaplikasikan. Kajian juga ada membuktikan bahawa guru-guru yang berpengalaman dalam bidang Matematik lebih berpengetahuan tinggi isi kandungan pedagogi berbanding yang sebaliknya (Tengku Zawawi  Tengku Zainal, Ramlee Mustapha dan Abdul Razak Habib, 2009). Apabila perkara tersebut berlanjutan, maka dapat dilihat secara jelas pencapaian pentaksiran antarabangsa di Malaysia akan berterusan berada di ambang kemerosotan yang kritikal kerana menurut Khadijah Abdullah (2014) ada menyatakan bahawa 60 peratus daripada 410,000 guru pada hari ini kekal mengajar 20 tahun akan datang.
Tambahan pula, guru yang sukar mengawal bilangan pelajar terlalu ramai dalam sesebuah kelas menyebabkan sesi pengajaran dan pembelajaran tidak memberikan kesan efektif. Perkara tersebut akan menjejaskan konsentrasi pelajar di dalam kelas malahan mempengaruh prestasi pentaksiran antarabangsa iaitu PISA dan TIMSS. Mohd Hasani Dali dan Mohd Johdi Salleh (2009) merumuskan bahawa kegagalan guru untuk mengawal atmosfera kelas menyebabkan seluruh atau sebahagian pembelajaran tidak dapat memberi kefahaman kepada pelajar.

2.0 CABARAN CIRI-CIRI PELAJAR

2.1 GENDER

Kajian OECD membuktikan bahawa Malaysia menduduki tempat ke-59 daripada 74 buah negara dalam penyertaan penilaian antarabangsa PISA (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2013).  Manakala, muncul pula keputusan kajian Trends in Mathematics and Science Study (TIMSS) pada tahun 2011 menunjukkan penurunan prestasi Malaysia mendadak empat kali penilaian daripada tahun 1999 (Zul Fikri Zamir dan Anas Alam Faizli, 2013). Menurut salah satu laporan OECD (2016), prestasi lemah dalam penilaian tersebut disebabkan oleh faktor demografi pelajar iaitu gender.
          Berikutan keputusan tersebut dapat dijelaskan bahawa sistem pendidikan Malaysia berhadapan cabaran perbezaan gender pelajar dari aspek pemikiran dan sikap khususnya. Kementerian Pendidikan Malaysia (2013) menunjukkan bahawa jurang prestasi antara gender melebar dan signifikan meningkat. Hal demikian disebabkan pemikiran terhadap pembelajaran.  Bharath Sriraman (2008) turut berpendapat bahawa perbezaan gender darri aspek pembelajaran mempengaruhi prestasi seseorang individu. Purata OECD juga mencatatkan murid lelaki kebanyakkan memperoleh tahap pencapaian rendah dalam Bacaan dan Sains berbanding perempuan.

2.2 SIKAP 
     
Dari aspek sikap pelajar dapat dilihat dalam kajian Mohamad Yusof Endut (2011) yang membanding beza minat antara jantina terhadap matapelajaran matematik dari aspek pengajaran guru. Kajian ahli akademik tersebut menyatakan bahawa pelajar lelaki gemar matapelajaran matematik apabila guru menyelitkan kecindan berbanding perempuan cenderung untuk cemerlang apabila guru bersikap mesra (friendly). Sikap pelajar terhadap terhadap Matematik khususnya amat mempengaruhi keputusan PISA dan TIMSS (OECD,2016; Ina V.S. Mullis, Michael O. Martin, Pierre Foy, and Alka Arora, 2012).

2.3 STATUS SOSIOEKONOMI

         “Kementerian menyedari bahawa perbezaan status sosioekonomi menimbulkan   cabaran besar bagi mencapai kesamarataan dalam keberhasilan pendidikan”   (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2013, ms 95).
Berdasarkan pernyataan tersebut, jelaslah menunjukkan antara cabaran sistem pendidikan Malaysia dalam merealisasikan hasrat sepertiga teratas juga berakar umbi daripada status sosioekonomi pelajar. Buktinya, dalam taburan populasi murid yang menerima KWAMP mengikut band sekolah juga memaparkan sekolah lemah kebanyakkan pelajar yang menerima bantuan kewangan (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2013). Pelajar yang berprestasi lemah berlatarbelakangkan pendapatan keluarga yang rendah. Rentetan itu, ibu sukar menyediakan keperluan kewangan untuk tujuan pendidikan. Sosioekonomi pelajar amat berhubung kait dengan prestasi masing-masing. Kesan daripada jurang status sosioekonomi akan merencatkan iltizam ke arah kualiti pendidikan bertaraf antarabangsa.

3.0 CABARAN MENINGKATKAN PRASARANA SEKOLAH

Sejak kebelakangan ini, sistem pendidikan Malaysia tidak lekang diberikan peruntukkan perbelanjaan setiap kali pembentangan bajet tahunan. Malahan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengakuri bahawa perbelanjaan pendidikan awam di Malaysia melebihi dua kali ganda Keluran Kadar Negara Kasar (KDNK) negara-negara ASEAN dan OECD (Zairil Khir Johari, 2014). Dalam pada itu, tiada keberhasilan yang jelas dapat dibuktikan pencapaian Malaysia di peringkat antarabangsa apabila berada kedudukan tercorot sepertiga terbawah. Sejajar itu, menjadi cabaran terhadap sistem pendidikan Malaysia untuk meningkatkan prasarana sekolah dengan mengoptimumkan perbelanjaan pendidikan demi merealisasikan hasrat kedudukan sepertiga teratas dalam penilaian antarabangsa. Mekanisme mengoptimumkan perbelanjaan hendaklah dengan memberi keutamaan kawasan pedalaman untuk meningkatkan prasana sosial. Andreas Schleicher (2016) ada menjustifikasikan bahawa kemudahan infrastruktur yang rendah natijah kelemahan prestasi pelajar dalam penilaian antarabangsa TIMSS dan PISA.
            Berdasarkan Laporan Bahagian Pembangunan Kurikulum KPM juga menyenaraikan sepuluh sekolah berprestasi rendah dalam Bacaan ujian PISA terdiri daripada sekolah luar bandar. Sufean Hussin (2014) turut berpendapat bahawa kedaifan kawasan pedalaman dari aspek infrastruktur menjadi suatu cabaran kepada sistem pendidikan di Malaysia. Tambahan pula, Mohd Erfy Ismail, Mohd Ali Samsudin dan Ahmad Nurulazam Md Zain (2014) ada menjelaskan bahawa pelajar yang dilengkapkan dengan kemudahan infrastruktur di sekolah akan mempengaruhi sikap terhadap pembelajaran Sains(subjek yang dititikberatkan dalam penilaian antarabangsa TIMSS dan PISA).

4.0 CABARAN KELEMAHAN SISTEM PEPERIKSAAN

Sistem pendidikan Malaysia yang dikatakan berpusatkan peperiksaan menyebabkan pelajar kurang mengaplikasikan kemahiran berfikir aras tinggi. Malahan, sistem peperiksaan yang bersifat ramalan topik dan sub-topik menyebabkan pelajar cenderung untuk mempraktik teknik penghafalan jawapan semata-mata. Sistem peperiksaan di Malaysia menunjukkan kontradiksi kerana PISA dan TIMSS memerlukan kemahiran penaakulan dan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) untuk menyelesaikan masalah secara realistik. Kajian PISA dan TIMSS pada tahun 2012 terhadap sistem pendidikan di Malaysia berpunca daripada kelemahan mengaplikasikan pengetahuan sedia ada menyelesaikan masalah rutin kehidupan. Bertitik tolak daripada itu, telah menjadi halangan untuk sistem pendidikan Malaysia merealisasikan hasrat menduduki sepertiga teratas dalam penilaian antarabangsa.

5.0 CABARAN MENTALITI TERTUTUP KALANGAN MASYARAKAT

Saban hari, tidak dapat menafikan peperiksaan awam Malaysia meningkat setiap tahun yang tidak pernah mengecewakan. Sehubungan itu, mentaliti mujtamak di Malaysia sehingga abad ke-21 masih kekal dengan menjulang kecemerlangan bilangan A pelajar dalam peperiksaan awam berbanding kemahiran insaniah. Kontradiksi jelas dengan penilaian antarabangsa kerana jenis soalan tidak menitikberatkan pengetahuan kurikulum akan tetapi memerlukan kemahiran mengaplikasikan pengetahuan yang dipelajari untuk berhadapan cabaran kehidupan seharian (real life situation).
            Oleh itu, sistem pendidikan Malaysia berhadapan cabaran untuk mengubah mentaliti masyarakat berkaitan kepentingan kecemerlangan akademik semata-mata. Mengubah mentaliti masyarakat adalah penting kerana memberi impak terhadap pencapaian pelajar. Komponen masyarakat konteks tersebut merujuk kepada ibu bapa. Pemikiran tertutup ibu bapa yang menganggap bahawa kecemerlangan bergantung pada bilangan A dalam peperiksaan mempengaruhi cara didikan terhadap anak. Corak didikan berdasarkan keperluan bilangan A dalam peperiksaan pula merencatkan prestasi Malaysia dalam penilaian antarabangsa.
            Berikutan itu, ibu bapa sewajarnya mengubah pemikiran sedemikian. Contohnya, peka terhadap masalah peningkatan jumlah pengangguran dalam kalangan siswazah kerana kekurangan kemahiran insaniah walaupun mempunyai segulung ijazah kecemerlangan akademik. Menyingkap kepentingan tersebut adalah bertujuan memastikan kesinambungan sumber manusia pada masa hadapan mencapai tahap kebolehpasaran secara global selain memacu iltizam kedudukan sepertiga teratas kualiti pendidikan bertaraf antarabangsa (Nooriah Yusof, Zakiah Jamaluddin & Norain Mat Lazim, 2013).

RUMUSAN

Secara kesimpulan, walau bagaimanapun kajian yang menunjukkan prestasi pelajar Malaysia yang lemah dan merundum dalam penilaian antarabangsa tetapi setiap cabaran pasti ada jalan penyelesaian. Perubahan sistem pendidikan sesebuah negara tidak harus melebihi kualiti seseorang guru. Kualiti guru pula akan memberi suatu keberhasilan terhadap pelajar dalam pendidikan. Usaha meningkatkan tahap keberhasilan dalam diri pelajar hendaklah disertakan komitmen padu kalangan masyarakat khususnya  ibu bapa. Manakala, kekurangan infrastruktur sesebuah sekolah juga hendaklah dinaik taraf agar tidak menjadi kekangan terhadap guru dan pelajar dalam merealisasikan kualiti pendidikan bertaraf antarabangsa.


            Oleh itu, semua pihak hendaklah berganding bahu berada di landasan menongkah cabaran tersebut. Sekiranya keadaan tersebut tidak ditangani, sistem pendidikan Malaysia akan menerima impak negatif dalam jangka masa panjang. Maka, hasrat untuk menduduki sepertiga teratas akan terbantut kerana tiada gemblengan semua pihak dan langkah proaktif yang dititikberatkan. Tahap ketersediaan semua pihak harus ditingkatkan mengikut peredaran zaman globalisasi yang kian mencabar pada alaf ke-21.

Ulasan

  1. asslamualaikum..
    saya nak mintak rujukan boleh tak

    BalasPadam
  2. Terima kasih atas perkongsian ini. Boleh saya minta nama puan untuk dijadikan sebagai rujukan? Terima kasih

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ISU DAN CABARAN MEMARTABATKAN TULISAN JAWI

1.0 Pengenalan             Tulisan Jawi merupakan warisan bangsa Melayu semenjak kedatangan Islam ke Kepulauan Melayu pada abad ke-10. Kewujudan tulisan Jawi amat sinonim dengan penduduk Tanah Melayu yang beragama Islam pada ketika itu. Malahan, tulisan Jawi ini dikenali sebagai tulisan Melayu-Arab di Nusantara kerana Hashim Musa (1999) ada mengesahkan bahawasanya Shellbear mengatakan orang Melayu menerima secara langsung tulisan Jawi daripada orang Arab. Kegemilangan tulisan Jawi pada abad-ke 18 tidak dapat dinafikan apabila penjajah Barat mempelajari untuk membaca dan mengejanya. Suatu ketika dahulu juga menggambarkan bahawa tulisan Jawi amat terserlah dalam kesusasteraan, kesenian dan kebudayaan Melayu. Menurut Keong Kyoung Seock (1990) ada menyatakan bahawa zaman kesusasteraan dahulu merupakan wahana masyhur dalam tulisan Jawi. Namun, adakah kegemilangan tulisan Jawi pada zaman dahulu masih relevan pada masa kini?             Pelbagai polemik isu yang timbul dalam kalangan mas

PERANAN DAN TAHAP KESEDARAN GURU

KANDUNGAN 1.0 PENGENALAN .. 2 2.0 PERANAN GURU UNTUK MENGHADAPI CABARAN KERJAYA GURU MASA KINI 3 3.0 TAHAP KESEDARAN GURU .. 6 4.0 PENUTUP .. 9 BIBLIOGRAFI 11 1.0 PENGENALAN Berdasarkan intipati puisi melankolik seorang pendidik Allahyarham Datuk Usman Awang dalam sajak “Guru O Guru” ada menggambarkan peranan guru pada setiap patah perkataan puitis beliau bahawa guru  mampu mengubah seorang manusia yang menguasai pelbagai bidang sehingga hari ini setelah 59 tahun Malaysia merdeka. Peranan guru amat mangli dan sinonim dalam pendidikan. Guru merupakan kerjaya yang amat disanjung dalam masyarakat segenap dimensi. Kendatipun demikian, masyarakat menganggap kerjaya guru mudah memperoleh pendapatan tinggi dan peluang cuti. Pelbagai tanggapan yang boleh dirumuskan kerjaya guru. Namun tanpa disedari, perkhidmatan guru memerlukan personaliti kebertanggungjawaban yang tinggi untuk menempuh cabaran mendidik, membimbing dan menunjuk ajar demi proses membentuk insaniah berg